Penjagaan Selepas Bersalin Bagi Kelahiran Normal :-Sejurus selepas bersalin :
Suhu badan, denyutan nadi dan tekanan darah ibu akan diambil, terutamanya jika wujudnya masalah sebelum ini, seperti pra-eklampsia (darah tinggi semasa mengandung) atau pendarahan yang banyak.
Jika ibu melalui pembedahan Episiotomi, atau kelahiran tersebut telah menyebabkan berlakunya koyakan pada faraj, maka luka tersebut akan diperiksa setiap hari semasa ibu berada di hospital.
Nasihat mengenai senaman dasar pelvis dan mengempiskan perut mungkin akan diajar kepada ibu bersama-sama dengan nasihat mengenai perancang keluarga.
Setelah keluar dari hospital :
Pemeriksaan akan diteruskan oleh bidan atau jururawat masyarakat semasa ia membuat lawatan ke rumah untuk memeriksa keadaan kesihatan bayi.
Ibu juga akan ditanya mengenai lokia (lelehan darah dan puing tisu yang keluar dari rahim selepas bersalin) yang seharusnya bertukar warna dari merah ke perang dan akhirnya kepada putih.
Enam minggu selepas bersalin :
**Ibu akan diminta untuk berjumpa doktor atau datang ke klinik untuk pemeriksaan terakhir.**Berat badan ibu akan diambil dan pemeriksaan fizikal sepenuhnya akan dibuat bagi memastikan tiada sebarang komplikasi yang wujud yang mungkin terlepas perhatian.
**Pada masa yang sama, bayi juga akan diperiksa bagi memastikan ia juga sihat.
**Doktor akan mengambil tekanan darah ibu dan mengambil sampel air kencing.
**Payudara, abdomen dan jahitan jika ada, akan diperiksa.
**Pemeriksaan dalaman akan dilakukan untuk memeriksa saiz dan kedudukan rahim anda
**PAP Smear akan diambil jika telah sampai masanya.
**Ibu boleh berbincang dengan doktor berhubung dengan perancang keluarga.
Senaman selepas bersalin :
Selepas bersalin perut ibu akan menggeleber dan kendur kerana kelemahan otot dan kulit yang teregang di abdomen. Melakukan senaman yang lembut dan perlahan selepas bersalin akan membantu menguatkan otot dan mengembalikan kekejapan otot abdomen dan faraj.Senaman juga boleh mengembalikan bentuk badan ibu dan menjadikannya lebih cergas.Senaman untuk menguatkan dasar pelvis adalah antara senaman-senaman penting yang perlu diamalkan oleh ibu-ibu. Otot dasar pelvis mengampu organ-organ seperti pundi kencing, rahim dan rektum. Oleh yang demikian, adalah mustahak kedudukan organ-organ ini dipulihkan kembali setelah mengalami kelasakan bersalin.
Diet : Walaupun ibu akan kehilangan berat badannya apabila rahimnya mengecut dalam minggu keenam selepas bersalin, ibu perlu menjaga makanannya untuk mengembalikan bentuk badannya seperti dahulu. Cuba makan secara berkala dan sihat. Elakkan dari mengambil snek yang mengandungi terlalu banyak kalori seperti gula-gula, kuih-muih yang manis dan minuman.Jangan berdiet apabila anda menyusu anak dengan susu badan kerana ini akan menganggu sistem badan anda.
Penjagaan Selepas Bersalin Secara Pembedahan :-
Jagaan selepas pembedahan cesarean adalah seperti juga jagaan waktu pantang selepas bersalin atau jagaan selepas pembedahan daripada penyakit jenis lain dalam perut.
Apa yang penting sekali ialah dalam dua minggu pertama ketika luka daripada pembedahan dan kelahiran bayi mulai pulih, badan memerlukan banyak sumber protein daripada makanan. Oleh itu makanlah makanan yang berkhasiat lagi seimbang yang terdiri daripada bahan-bahan karbohidrat, protein serta vitamin daripada sayur-sayuran dan buah-buahan.
Lantaran itu jugalah, dalam waktu pantang ini, khususnya selepas pembedahan cesarean, janganlah sekat pengambilan makanan berkhasiat disebabkan kepercayaan dan amalan budaya kita ataupun disebabkan desakan dari orang orang tua kita. Walaubagaimanapun makanan tertentu yang diketahui boleh menyebabkan masalah seperti alahan (allergy) patut dijauhkan.
Kurangkan sedikit bahan-bahan yang kaya dengan minyak dan lemak serta bahan manisan yang mengandungi banyak gula seperti coklat dan ais-krim. Pil vitamin dan zat besi (iron) yang dimakan ketika mengandung patut diteruskan sehingga habis pantang khususnya bagi mereka yang menyusukan kerana proses penyusuan memerlukan bahan bahan vitamin khususnya kalsium dalam pembentukan susu.
Biasanya luka pada perut akan kering dan rapat setelah dua minggu. Ketika ini pesakit boleh melakukan aktiviti dan kerja rumah.
Amalan menggunakan bengkung dan juga bertungku tidak dicegah.Mengurut pada badan juga tidak dicegah, tetapi jika boleh jangan disentuh bahagian perut khususnya pada luka pembedahan tersebut.Makan makanan tambahan yang diluluskan oleh KKM untuk mempercepatkan proses pemulihan luka juga tidak dicegah, malah digalakkan.
JaRaK KehaMiLan :Sebenarnya luka pembedahan akan pulih dalam masa dua minggu, tetapi ia menjadi kuat dalam masa satu hingga dua bulan. Apabila sampai ke tiga bulan atau lebih parut akan menjadi lebih kuat dan tidak ada bezanya antara kekuatan parut cesarean selepas tiga bulan ataupun selepas setahun.Oleh itu jika seseorang itu dengan tidak sengaja hamil, ini bukan satu sebab ia patut menggugurkan kandungannya. Sebaiknya ia perlu diteruskan. Lagi pun tidak kesemua kes pembedahan mesti perlu diulang. Ia bergantung kepada punca pembedahan yang pertama, misalnya kalau rongganya sempit, barulah ia perlu diulang.
Sumber Rujukkan :-- infosihat.gov.my